"Daripada Abu Umamah,seorang lelaki bertanya, "Wahai Rasulullah! Apakah hak kedua ibu bapa yang mesti ditunaikan oleh seorang anak" Jawab Rasulullah s.a.w "Khidmatmu kepada mereka itulah yang menentukan sama ada engkau masuk syurga atau neraka".(Diriwayatkan oleh Ibnu Majah).
"Anak adalah kurniaan ALLAH yang tidak dapat dinilai dengan apa sekalipun. Ia menjadi tempat curahan kasih sayang kedua orang tua. Namun, apabila bertambahnya usia anak, timbul pula persoalan baru. Apabila anak meningkat dewasa, anak dapat menampakkan wajah yang manis dan sopan santun, berbakti kepada orang tua, berprestasi baik di sekolah serta bergaul dengan baik dengan masyarakatnya."
Tetapi bagi pihak yang lain mungkin berlaku sebaliknya pula. Tingkah lakunya semakin tidak terkawal, kenakalan berubah menjadi kejahatan dan ibu bapanya sering risau memikirkannya. Anak adalah pelaburan yang mahal. Wang yang kita keluarkan bagi mendidik anak supaya menjadi anak yang soleh, bukanlah pengeluaran yang sia-sia, tetapi itu adalah modal yang bakal memberikan keuntungan kepada kita.
Tenaga yang kita keluarkan bagi mendidik anak tidaklah sia-sia, sebaliknya sebuah pelaburan yang menguntungkan .Oleh itu, kita perlu serius melabur untuk anak-anak supaya menjadi anak soleh. Apabila kita meninggal kelak, mudah-mudahan anak kita dapat menguruskan diri, keluarga dan segalanya. Kita perlu menganggap keturunan kita adalah sebahagian daripada keselamatan dunia dan akhirat untuk kita.
Pengorbanan kita pada anak-anak tidak perlu dikira, apatah lagi mengharapkan balasan budi.
Beringatlah, semakin banyak kita berharap, semakin banyak pula kekecewaan yang kita dapat. Anak-anak adalah amanah daripada ALLAH yang perlu kita didik dengan baik. Perkara membalas budi dan keuntungan, kita serahkan kepada ALLAH, kita tidak perlu menagihnya daripada anak-anak kita.
Apabila hati kita ikhlas, tidak mengharapkan balasan, tidak memaksa, pasti kemulian bakal terserlah. Tetapi apabila hati riak, batin kita bakal sengsara. Mengharapkan pujian dan pujaan, akhirnya mendapat hina dan nista. Anak-anak adalah aset keselamatan dan kebahagian dunia dan akhirat. Akhlak yang baik di kalangan anak-anak menjadi pengikat kasih dan mencipta keharmonian dalam hubungan sesebuah keluarga. Kita perlu membekalkan anak-anak kita bukan sahaja dengan ilmu, tetapi rezeki yang kita terima juga perlu halal supaya anak-anak kita berakhlak mulia.
0 comments:
Catat Ulasan